Wednesday, August 25, 2010

Terburu-buru pada kemajuan sains...alpa pada jati diri sejarah bangsa, agama dan negara.


















Assalamualaikum. Apa khabar semua? Hari ni aku nak kongsikan kepada anda semua berkenaan tentang satu kertana akhbar hari ini dalam Berita Harian. Berkenaan satu seminar kenegaraan Malaysia yang dianjurkan sendiri oleh Berita Harian. Seminar ini yang berkisar berkenaan konsep 1 Malaysia dan Malaysian Malaysia yang pernah diperjuangkan oleh Peoples Action Party (PAP) dari Singapura yang dipimpin oleh Lee Kuan Yew suatu ketika dahulu. Sekarang ni pula diteruskan pula agenda politik DAP Malaysia. Aku sangat tertarik penghujahan dari Prof. Emeritius Dato' Dr. Khoo Kay Kim, pakar Sejarah dan Kenegaraan Malaysia yang menyatakan bahawa rakyat Malaysia terlalu mengejar arus kemodenan sains teknologi dan membelakangi nilai sejarah dan jati diri bangsa. Nampaknya, apa yang aku fikir dan aku alami sendiri telah disuarakan oleh pakar sejarah Malaysia. Aku sangat bersetuju dengan pendapat ini. Bukan waktu merdeka baru nak buka kitab sejarah, baru nak kenang, baru nak terkial-kial terhegeh-hegeh nak tahu sejarah bangsa dan negara kita. Sesungguhnya aku yang terlibat dalam mendidik dan memberi ilmu tentang sejarah dan nilai jati diri amat merasakan kenyataan yang dibuat oleh Prof. Emiritius Dato' Dr. Khoo Kay Kim amat jitu dan jelas, sebabnya...bila aku mengajar, subjek sains dan teknologi tetap dipandang hebat. Macam matapelajaran sejarah, sivik, Pengajian Malaysia ni macam kelas kedua pula. Kita bukan hendak menolak ilmu sains dan teknologi tapi sedarlah, bukalah mata luas-luas, buklah mata hati itu sebesar-besarnya...lihat, fikir, nilai dan muhasabahlah diri dan keadaan kita disekeliling. Segala macam bentuk kemusnahan dan kejijik jelekan berlaku lantaran kerana nilai-nilai insani sudah semakin terhakis.

Sempena bulan kemerdekaan yang hampir tiba, aku nak ajak marilah kita ambil iktibar dan pedoman apa yang berlaku. Aku tahu mesti yang akan menghentam aku juga kerana aku menulis blog ini waktu sedang mahu menyambut kemerdekaan. Namun hakikatnya aku tercetus untuk menyentuh isu ini apabila aku rasakan sudah masanya aku menulis, untuk aku kongsi dan aku rasa menjadi tanggungjawab untuk menyatakan yang hak. Marilah kita kenang dan sedekahkan al-Fatihah kepada mereka yang telah pergi, membawa haruman bunga perjuangan bangsa dan negara. Darah mereka yang mengalir di atas muka bumi bertuah ini akan diganjarkan pahala oleh Allah, air mata yang menitis, Insya Allah, Allah ganjarkan mereka dengan kebaikan Jannah, segala pengorbanan harta dan keluarga mereka dibalas sejuta keredhaan Allah. Mari kita sedekahkan al-Fatihah dan bacaan Yasin kepada mereka, semoga roh arwah mereka ini tenteram di alam sana. Kita cukup bertuah mendapat negara yang dah bebas merdeka politik dari penjajah. Masalah kita sekarang membebaskan penjajahan ekonomi dan pemikiran budaya yang masih berkemelut seolah-olah tiada susahnya.


Negara yang kita diami ini sudah hampir ketandusan mereka yang nilai jati dirinya menggunung tingginya mengharung segala badai ombak, onak duri dan sepak terajang dunia globalisasi ini. Kita mahu berdiri sama tinggi dengan negara maju, duduk lebih tinggi dari mereka...namun apa gunanya apabila dalaman kita kosong, lompang lompong dengan nilai insani, nilai agama dan jati diri bangsa yang nenek moyang kita dulu cuba semaikan. Jika nenek moyang kita ini dibangkitkan dari kubur, rasanya menangis mereka kerana melihat anak cucu mereka yang sudah hampir ke gerbang kehancuran. Kita tidak belajar dari mereka, alasannya buat apa nak belajar...mereka dah mati, mereka punya zaman dah berlalu. Betapa hinanya alasan ini kerana ini jawapan yang mahu menghancurkan diri sendiri, yang mahu mengazab keluarganya, yang merobohkan bangsanya, menjahanamkan negaranya dan yang paling aku takut...akan menghancur ranapkan tiang sendi agama. Adakah kita sanggup memikul senjata, sanggup mengorbankan diri kita sendiri melawan musuh andai nafsu dalam diri roh kita kalah dalam melawan tuntutan nafsu. Nampak sangat rapuhnya jati diri kita, nampak sangat kebongkakan kita dalam sebenarnya kelemahan diri yang menerobos iman dan takwa kita pada Tuhan.

Adakah dengan mendapat kerja yang bagus, gaji yang hebat, pakaian yang berjenama, rumah yang melaut luasnya, makanan yang dihidang lazat menyelerakan, mempunyai suami/isteri-isteri/teman-teman lelaki/teman-teman perempuan yang kacak cantik jelita, salutan barangan kemas berkemilau dari kepala sampai ke kaki, mempunyai perniagaan yang menongkat hebat sampai ke langit, memandu kereta mewah, bercuti makan angin di luar negara dengan mewah dan sebagainya hanya merupakan satu lambang status yang didapat sendiri? Atau semuaya itu seolah-olah sudah mendapat syurgawi, terjaminkah semuanya itu andai negara kita ini sedang mengalami krisis kebejatan jati diri yang dahsyat? Apakah kita mampu menongkat langit yang tinggi andai kaki kita ni sebenarnya sudah untut lagi cacat? Fikirlah...kita tak ada semua ni jika dalam jiwa kita rapuh. Kita tak sampai semua ni kalau sejarah bangsa dan negara kita tidak berjuang menentang kemelut penjajahan, kita sendiri tidak tercapai segala semuanya jika pegangan agama kita terlalu rapuh. Apa guna kalau harta bertimbun tetapi redha Tuhan tetap tidak tercapai dicari. Apakah redha Tuhan terletak di pub, disko, rumah urut, di semak, di taman bunga dan sebagainya lantaran kerana ingin mencari kenikmatan nafsu serakah bahimiah kebinatangan itu? Merdeka ke dengan semuanya kalau itu menjadi pendekatan dalam mengisi kemerdekaan? Botol arak, dadah, syabu, daun ketum, judi, pelacur dan sebagainya adakah lambang kepada nilai kemerdekaan yang kita capai sekarang? Handphone mahal, bangga keluar dengan balak/awek dengan merempit, berwayangan di dalam panggung wayang...adakah itu merdeka pada kamus hidup bangsa kita? Terjerit-jerit melaung merdeka dengan berkepit jantan betina meneguk air kencing syaitan terkinja-kinja menari umpama beruk yang tempang tatkala masjid dan surau melaung azan? Ke semak...tempat taman bunga...ke tempat sunyi ke melampiaskan nafsu syahwat jantan betina tatkala masjid dan surau melaung salawat ketika solat tarawih? Mana nak cari redha Allah pada kita semua andai kita redha Allah murka kepada kita kerana menyembah tersungkur diri dalam dakapan nafsu syahwat? Jawapannya...dalam diri kita semua. Apa yang kita buat, kita tanggung. Jangan disalah orang lain...jari telunjuk panjang menjurus salah orang kelingking jari berkait ke diri juga.


Memang keras ayat-ayat aku. Itu gelojak dan isi hati aku selama ini yang aku cuba luahkan kepada mereka yang belajar pada aku, yang cuba memahami perspektif nilai jati diri insani manusia yang mendiami Malaysia kini. Aku tahu aku juga jahil, aku juga tak sehebat mana, aku bukannya Hang Tuah, bukan Dato' Maharaja Lela dan bukannya seperti Haji Abdul Rahman Limbong...bukannya betah menulis nilai nasionalisme seperti Syed Syeikh al-Hadi ataupun Abdul Rahim Kajai, aku bukannya nasionalis yang tebal ketulenannya seperti Dato' Onn Jaafar atau Tunku Abdul Rahman. Aku akui bukannya sehebat seperkasa seperti Tun Abdul Razak yang sayangnya kepada bangsanya sendiri terlalu mendalam ataupun seperti sebijak mentadbir negara seperti Tun Mahathir. Tapi aku menyedarkan diri aku sendiri dan mengajak orang lain supaya bangun menilai, memerhati, menaakul dan kemudian menginsafi bahawa semuanya yang berlaku atas kealpaan kita semua. Perbaikilah diri dari kealpaan dan hiasilah diri dengan takwa, semoga Allah memberi kita redha-Nya.
Ini sahaja dariku buat masa ini...wassalam.











Gambar-gambar yang aku paparkan di atas adalah sebahagian proses dan cerita sejarah. Jangan terkejut aku paparkan wajah Tok Janggut yang sebenarnya yang meninggal dunia dan digantung itu...selamilah perjuangannya menentang penjajah. Betapa indahnya corak perjalanan hidupnya yang akhirnya mati mempertahankan maruah bangsanya. Wajah-wajah yang aku apparkan merekalah penanam jati diri bangsa, melawan penjajah. Bersyukurlah kita semua, terima kasih kepada mereka kerana kita mengecapi nikmat kebebasan dari menyembah memanggil Mem dan Sir pada penjajah. Kitalah Mem dan Sir di bumi sendiri. Ingat...macam mana nak jadi Mem dan Sir di tanah sendiri, bangunlah dan tanamkanlah jati diri dan hiasi diri dengan sifat mahmudah. Insya Allah, kita akan jadi tuan dan puan bagi bumi ini sesuai dengan sunnatullah yang Allah jadikan manusia sebagai khalifah di atas muka bumi ini.












Tuesday, August 24, 2010

Apabila runtuhnya Melaka...terisikah jiwa yang kini merdeka?





Kisah 1511

Assalamualaikum...

Hari ni 24 Ogos 2010...bersamaan dengan 499 tahun sudah Melaka tewas di tangan Benggali Putih Portugis yang dipimpin oleh Alfonso de Albuequeque. Alfonso, orang yang bertanggungjawab menggerakkan kuasa Portugis di Timur, melenyapkan sama sekali keagungan Kesultanan Melayu Melaka. Bercita-cita mahu membongkar makam dan membawa tubuh jasad semulia-mulia manusia, Rasululah untuk disembahkan kepada Raja Manuel Portugal. Raja Portugal yang mendamba-dambakan segenap harta yang tersimpan di dalam perbendaharaan istana Melaka yang berkoyan-koyan emas permatanya. Namun cita-cita ini gagal, malah kapal Flor de la Mar yang dinaiki oleh Alfonso tenggelam dalam amukan Selat Melaka yang seolah-olah tidak rela bumi Melayu diinjak oleh bangsa penjajah Kristian yang jumud ini. Harta tenggelam di dalam perut Selat Melaka dan selat ini melakar sejarah dalam lipatan kenangan peristiwa demi peristiwa orang Melayu menentang kebangkitan kuasa Barat. Demi cita-cita kemaruk bangsa Portugis, dibongkar semua kuburan milik orang Melayu lalu diberak kencing mereka di atas kuburan tersebut tanda kemenangan. Lalu batu nisan, batu masjid dan batu istana yang dahulu menjadi lambang kemegahan Melaka diganti pula menjadi lambang pembinaan yang penuh pahit orang Melayu Melaka sendiri yang dikerah paksa membina kota A Famosa dan gereja St. Paul di atas Bukit Negara (Bukit Melaka). Termegah gereja di atas bukit, tanda kemenangan si penyembah pendahat salib, di bina di atas tapak runtuhan istana Melaka. Berpesta arak tentera Benggali Putih ini 21 hari di atas bumi Melaka. Daging perempuan Melaka yang 'empuk' dilayan secara paksa dengan dipertonton di hadapan suami, ayah, abang, adik lelaki sebelum dihukum bunuh. Tanda melampiaskan dendam Perang Salib, perjuangan didasar atas agama namun disulam indahkan dengan memuaskan nafsu serakah bahimiah dan kegilaan harta benda demi kecintaan kepada Raja Portugal.


Salah juga orang Melayu. Leka dan lalai dalam kemegahan. Sultan yang memuaskan nafsu dengan 'bermain-main' dengan segala wanita Melaka. Kerana fitnah dan cemburu Tun Fatimah, habis sekeluarga Tun Mutahir, Bendahara Seri Maharaja Melaka dibunuh. Betapa bodoh dan dungunya tanpa memeriksa sembah fitnah, akhirnya lenyap kepada satu legasi keluarga yang selama ini mempertahankan dan memperkayakan dirinya dan Melaka juga. Tamak kepada kuasa, kejam lagi bengis...beringinkan nafus meminang Puteri Gunung Ledang kerana sudah jemu kepada wanita manusia. Betapa banyak dan kemungkaran bermaharajalela di Melaka. Arak menjadi minuman sejuk pembesar, golongan agama dipermain-mainkan. Takhta bergelumang dengan kemaksiatan dan kemewahan tanpa sedar ia merobok-robek sendiri maruah Melaka. Dagang dan santeri bukan boleh dipercayai, talam dua muka. Dikatanya menyokong Melaka dalam diam menghantar maklumat perisikan dan bantuan kapal kepada Benggali Putih. Orang Melaka tidak tahu apa itu istinggar, apa itu meriam, apa itu pistol. Yang mereka tahu racun pokok ipuh boleh membunuh jika disumpit. Berkilat segala lembing tombak, diasah tajam segala pedang dan parang, kapak dan penangkas, segala perempuan Melaka memakai sanggul tajam melilit rambut buat pertahanan diri...langsung tidak kesannya jadi bahan takutan Benggali Putih itu.
___________________________________________________________________
Kisah 2010
Nenek moyang kita tersungkur mempertahankan maruah kedaulatan merdeka negara. Tidak pernah lesu mereka bangun...dari tenaga keringta, air mata dan seruan kebangsaan. Semuanya kerana demi anak bangsa kemudian. Kita terima merdekanya negara kita dari penjajah. Kita nak isikan semuanya dengan ruh merdeka. Tapi merdeka apanya jika minda, sikap dan kelakuan kita lebih jahil dari Arab Jahiliah? Betapa celakanya wahai anak bangsaku kerana kita sendiri yang menjahanamkan semuanya. Betapa hina dinanya kita kerana membiarkan kita jadi begini. Kita bermegah atas nama budaya hedonisme, melentuk liuk badan mengikut telunjuk budaya Barat yang kian karat nilai insani. Bila semua ini akan berakhir? Bila akan kembali umat manusia ini ada rasa insani? Ya Allah, aku sendiri tidak tahu bila semua ini berakhir. Aku takut pada murkamu Ya Rabbi.






Friday, August 20, 2010

Islam Melayu atau Melayu Islam???

Assalamualaikum...
Kabare sampean???? Kok ngantuk ojo???? Wes mangan??? Orak???? Waduh...kok mangan sahur??? Orak???? Padan muko!!!! Heheheheh...sekali Jawa da! Oklah selalunya aku menulis dalam blog berkenaan pasal diriku. Kali ni aku hendak menulis berkaitan sesuatu isu, masalah atau pendapat. Tambahan pula sebenarnya dalam sibuk kita dalam bulan Ramadan, sebenarnya bulan ini juga adalah bulan kemerdekaan. Menjelang 31 Ogos, selalunya bendera sudah banyak berkibar. Tapi kali ni macam tiada suasana sambutan. Disebabkan bulan Ramadan??? Mungkin anda semua terlupa bahawa orang Melaka mempertahankan bumi mereka dari penjajahan Portugis dalam bulan Ramadan? Bukankah satu bentuk perjuangan yang suci dan mulia? Malahan, dalam lipatan sirah Nabawiah, bukankah juga perang pertama dalam Islam berlaku dalam bulan Ramadan? Perang Badar berlaku pada bulan Ramadan, sewaktu umat Islam sedang berpuasa bersama-sama dengan Rasulullah? Bukan aku untuk menyuruh semua umat Malaysia berpesta-pestaan di dalam bulan kemerdekaan. Tetapi hakikatnya, bulan Ramadan dan bulan kemerdekaan yang disambut serentak sepatutnya diraikan dengan penuh kesyukuran dan bagi aku, jatuhnya bulan Ramadan dan bulan kemerdekaan pada masa yang sama mempunyai signifikan yang besar. Perjuangan orang Islam dalam melawan penjajahan nafsu serakah dan juga memantapkan rasa kecintaan kepada Allah dan Rasul-Nya disamping menhayati, menghargai dan sedia berkorban demi agama, bangsa dan negara adalah dituntut dalam syarak kan??? Semuanya berkait rapat dan sebenarnya kita sebagai rakyat Malaysia yang beragama Islam sepatutnya rasa bersyukur dan menghargai kenikmatan beragama dan kebebasan merdeka. Bagi aku Islam itu kemerdekaan diri dari belenggu kemelut jiwa, memerdekaan diri dari segala beban ruwet masalah dan akhirnya menyatukan diri secara total kepada pengabdian ekpada Allah. Bukankah itu tanda kemenangan jiwa dan pembebasan diri daripada kemurkaan Allah?
Berbalik kepada pokok tajuk di atas...Islam Melayu atau Melayu Islam? Ceritanya begini. Hari ni aku datang ke kolej, tempat kerja tercinta ku dengan menaiki motor. Biasa la, lecturer ni merempit la di atas jalan raya sehinggalah tetiba aku sendiri terpandang dan membaca satu banner yang digantung pada lampu isyarat. Kebetulan pula waktu aku sedang berhenti sebab lampu isyarat warna merah. Pada banner tu ditulis "Selamat Menyambut Ramadan al-Mubarak 1431 Hijrah. Islam Melayu Melayu Islam". Ia ditulis oleh sebuah persatuan yang dikenali sebagai Persatuan Melayu Malaysia. Ketika aku membaca Islam Melayu Melayu Islam aku terpempan. Aku terkejut dan aku sehingga sekarang berfikir sehingga sekarang ni. Aku pun bercadang nak ebrkongsi di dalam blog ni agar ada sesiapa sudi untuk membaca. Tetapi sebelum diskusi ini bermula, aku sendiri memohon petunjuk dari Allah agar dapat memberi aku sedaya upaya dan hikmah keilmuan yang aku pelajari. Aku tahu ilmu yang aku miliki tidak sedalam mana...terlalu cetek. Cuma yang aku tahu dalam bidang keilmuan ini cakupannya terlalu luas. Tidak ada pendapat yang salah dan tidak ada pendapat yang betul, asalkan jangan disulam dengan perasaan yang mazmumah menegak benang basah mendirikan fakta yang benar-benar tidak masuk akal dan terbukti menyalahi hukum Allah dan rasul-Nya.
Baiklah...berkenaan Islam. Islam itu diturunkan dahulu kepada orang Arab Quraisy. Tapi akhirnya Islam tersebar ke seluruh pelosok dunia. Kenapa? Sebab Islam itu bukan hak milik mutlak sesuatu kaum, bangsa atau masyarakat juga tidak dikhususkan kepada individu atau sekumpulan tertentu. Itu petanda bahawa Islam itu syumul. Berbalik kepada ayat Islam Melayu. Ayat ini terlalu subjektif. Adakah Islam itu milik Melayu atau Islam itu merujuk kepada Melayu. Bagi pendapat aku yang jahil ini, Islam itu bukan milik Melayu sahaja. Islam juga bukan merujuk kepada Melayu. Bukannya apa, ayat Islam Melayu itu terlalu keras dan berkemungkinan juga boleh timbul isu sensitif. Islam bukan menjerumus diri ke arah memeningkan kepala mengheret kepada konflik. Islam lahir dari perasaan mahabbah dan semangat kemanusiaan sejagat. Bukan bermakna Islam itu dikhususkan kepada Melayu. Memang diakui rata-rata orang Melayu beragama Islam tetapi ini bikan bermakna hak milik kemutlakan Islam itu dikalangan orang Melayu sahaja. Bagaimana jika orang India, orang Cina atau sesiapa sahaja yang bukan Melayu mahu memeluk Islam? Adakah perlu dikatakan mereka masuk Islam ataupun mahu menjadi Melayu? Apakah kriteria sebenarnya? Ekslusif sungguh kamus perkataan Melayu itu sehingga sudah nampak 'kelenyapan' Islam itu sendiri. Jadi bagaimanakah pula penerimaan orang asal Melayu ini apabila kaum bukan Melayu memeluk Islam jika istilah Islam Melayu itu diguna pakai? Adakah mereka juga Melayu sehingga adat resam mereka akan 'dimelayukan' kerana mereka memeluk Islam? Persoalan itu sebenarnya aku sendiri takut untuk menjawab kerana terlalu pedas dan pedih untuk diberitahu. Apa yang penting sebenarnya pokok persoalan dan jawapannya ialah Islam itu bukan Melayu. Kalau Islam itu Melayu bermakna ada sebahagian hukum hakam Islam juga berkait rapat dengan adat resam kebudayaan Melayu. Jadi tidak timbul isu atau masalah jika pertentangan antara hukum adat Melayu dan hukum syarak jika Islam Melayu itu diguna pakai. Hakikatnya betapa banyak adat dan istiadat Melayu yang tidak menepati dan melanggar hukum syarak. Tepuk dada tanya selera.
Berbalik semula kepada Melayu Islam. Ini mungkin lebih 'mesra' dan lebih tepat penggunaanya. Kita akui malah termaktub dalam kontrak sosial perlembagaan Malaysia bahawa Melayu itu ialah beragama Islam, mengamalkan adat istiadat Melayu dan berbahasa Melayu. Memang tepat jika merujuk Melayu itu dari segi perlembagaan kerana orang Melayu bersandarkan kepada tiga keadaan serentak iaitu dari agamanya, bahasanya dan adat resamnya. Persoalan juga mungkin timbul dari sini. Berkenaan kes Lina Joy yang memohon agar Islam digugurkan dari kamus hidupnya. maksud di sini ialah mahu murtad. Na'uzubillah...memang mengejutkan. Ada seorang pelajar ku sendiri bertanya berkenaan status Lina Joy dari segi kaumnya. Adakah dia masih dianggap Melayu walaupun murtad keluar dari Islam? Alasan pelajar aku itu disebabkan oleh menurut perlembagaan Malaysia seseorang Melayu itu adalah beragama Islam dan berbahasa Melayu dan mengamalkan adat Melayu. Mengapa aku boldkan dan itu? Sebab bagi pendapat pelajar ku sendiri jika kehilangan salah satu identiti Melayu yang terangkum tiga itu bukan bermakna Melayu untuk Lina Joy. Memang aku akui pendapatnya betul juga. Sebab itu termaktub dalam perlembagaan. Kalau perlembagaan dipertikaikan berkenaan orang Melayu, bermakna keluhuran dan ketinggian perlembagaan Malaysia hampir tiada disebabkan pertikaian yang timbul. Jadi, tergugurlah istilah Melayu bagi kamus hidup Lina Joy? Mahu didasar kaum apa jika dia diisytihar keluar dari Islam? Masuk jadi bumiputera lain? Kaum bumiputera yang mana? Adakah sanggup diterima oleh Lina Joy? Itu persoalan yang timbul. Bagaimana pula jika orang Melayu itu beragama Islam tetapi tidak betah dan petah berbicara bahasa Melayu dan/atau tidak mengamalkan adat Melayu kerana dilahirkan di luar negara ataupun menolak bahasa Melayu dan budayanya kerana dianggap kolot? Jadi, masih Melayukah dirinya ataupun tergugur kamus Melayu dari hidupnya? Besar sungguh makna dan pengertian Melayu dan perkaitannya dengan Islam, bahasa dan budayanya.
Jadi di sini aku tidak mahu berdiskusi panjang. Yang penting sebenarnya di sini ialah bagaimana orang Melayu mempertahankan hak status bumiputera, bagaimana untuk mempertahankan nilai jati dirinya beradasrkan agama yang dianutinya, bahasa ibundanya yang dipertuturkan dan adat resam menjadi pegangan amalannya. Adakah nampak isu chauvinisme dan perkauman berlaku jika ini yang menjadi perhatian dalam arus kebangkitan orang Melayu di tanah sendiri? Mungkin aliran gelombang kebangkitan nasionalisme Melayu Islam akan muncul dan aku sendiri berharap agar kebangkita ini memberi ruh kebaikan dan mendapat restu dan redha Allah S.W.T., Insya Allah.
Ini sahaja coretanku untuk kali ini. Jika ada sesiapa terasa aku pohon maaf kerana aku insan yang lemah tak dapat alri dari bebal khilaf laku kata ini. Jika ada sesiapa yang ingin memberi komen dan pendapat dipersilakan, agar ilmu Allah ini sentiasa disebar dan menjadi panduan, peringatan dan hikmah kepada kita semua. Sekian, Asssalamualaikum.

Wednesday, August 18, 2010

Hati yang dicengkam kesedihan dan kepayahan...kepada Allah ku adukan

Ya Rabbi...Ya Allah

Ku adukan sebeban sejuta rasa resah diriku pada-Mu. Ya Allah, ku hamba-Mu, anak kepada hamba-hamba-Mu, hamba yang segala serba serbi daif dan lemah. Ya Allah, betapa malunya akan dosa-dosa yang telah lakukan. Betapa hina dina diriku melakukan setiap kesalahan yang terlalu besar dosanya. Namun, ku harapkan dengan sebenar-benar harapan, harapan yang hanya bersandar pada-Mu. Ku akui serendah-rendah hatiku bahawa Engkaulah Tuhanku, Engkaulah penciptaku, Engkaulah yang menghidupku, Engkau juga aku akan bertemu bila janji-Mu telah tiba untukku. Ku serahkan seluruh hidupku, ibadatku malah urusan matiku hanya pada-Mu Ya Rabbi. Hamba-Mu yang serba kerdil ini memohon keampunan taubat dari segala dosa, sama ada ku lakukan secara terangan atau secara sembunyi. Ya Illahi ku curahkan rasa pengabdianku pada diri-Mu. Ku curahkan rasa hatiku, gelojak jiwaku, segugus beban dan kedukaan ku ini hanya pada-Mu.
Aku hanya bertaut pada tali-tali-Mu Ya Allah. Ku sunyi dalam gembira, perit pedih tanggung derita. Ya Allah, aku benar-benar lemah dalam menghadapi semuanya. Terlalu rasa berat menangung semuanya di atas pundak bahuku ini. Ke mana lagi untuk aku serahkan segalanya hanya pada-Mu Ya Rabbi. Aku dambakan hanya keampunan, kerahmatan dan kebebasan dari segala masalah yang berat menanggung diriku. Ya Allah Ya Allah Ya Allah, aku adukan semuanya dihadapan-Mu. Ku tidak tahan lagi menangung semuanya Ya Rabbi. Ya Fatah, bukakanlah jalan penyelesaian untukku. Ya Rahman Ya Rahim, rahmati diriku, kasihanilah diriku, berkati hidupku. Ku menyesal apa yang telah berlaku, kerana menurut hawa nafsuku yang terlalu jahat ini. Ya Rabbi, ampunilah diriku, ampunilah dirku, ampunilah diriku.
Ya Allah, ku derita atas segala sebeban masalah diriku. Jika ku hina di mata manusia, jangan Engkau hinakan diriku dihadapan-Mu. Ku rela menghinakan dirku sendiri dihadapan-Mu, ku buangkan segala pakaian kebesaran dirku, ku campakkan segala keegoan diriku. Ku menadah tangan hanya pada-Mu Ya Allah. Ku mengemis dihadapan-Mu. Ku mengemis meminta-meminta dari-Mu. Ya Allah, aku malu meminta-minta dari-Mu tapi kepada siapa saat ini aku meminta dikala tidak ada manusia yang mampu membantuku, tiada siapa yang mahu menolongku. Wahai Tuhan yang Maha Penolong, wahai Tuhan Yang Maha Pemurah, Wahai Tuhan Pemberi Rezeki, ku mengemis memohon merintih meminta dari-Mu. Luaskan dan permudahkan rezeki. Wahai Tuhan yang Maha Tinggi Kesucian, Wahai Tuhan Yang Maha Besar, wahai Zat Yang Maha Hilangkan, hilangkanlah rasa deritaku, hapuskan rasa keluh kesah ku, lenyapkan segala masalah yang bergolak dalam jiwaku. Wahai Zat yang Menurunkan rezeki, wahai zat yang Maha Hidup dan berdiri Diatas Sendirinya, Wahai Zat Yang Maha Suci Penuh Kemuliaan, Ya Rabbi...Ya Rabbi...Ya Rabbi...Ya Allah...Ya Allah...Ya Allah.
Ku merintih pada-Mu. Bantulah diriku. Kuatkan azam dan tekadku. Bantu dan bimbinglah diriku untuk ku keluar dari lingkungan beban masalah ini. Ya Allah, ku dambakan bantuan dan pertolongan-Mu. Ya Allah, siramilah jiwaku dengan ketabahan, tanamkan diriku dengan keyakinan dan benihkan diriku dengan rasa syukur dan redha pada-Mu. Ya Rabbi Ya Rahim Ya Karim Ya Hannan Ya Mannan...ku berpegang dan berdiri atas kalimah kebesaran-Mu. Awal hidupku kerana-Mu dan akhir hidupku juga kepada-Mu. Ya Allah, Engkaulah pemilik sepenuhnya atas jiwaku, pemegang ubun-ubun kepalaku, setiap detik jantungku berdegup, setiap nafasku yang ku hirup semuanya dalam pengetahuan-Mu jua. Ya Rabbi, ku mohon pada-Mu agar dikuatkan diriku. Sabarkan diriku, leraikan segala sifat mazmumah dalam hidupku. Ya Allah, Ya Allah Ya Allah.
Ya Rabbi, sampaikan salam rinduku, hadiahi bingkisan-bingkisan rinduku pada kekasih-Mu, penghulu segala nabi, pemberi syafaat dan pembawa rahmat, Rasulullah S.A.W. Sampaikan bingkisan selawat setulus kasih sejernih hati pada penghuluku, nabi ku dan pemberi syafaat kepada ku. Rahmatilah dan berikanlah taufik, hidayah dan keredhaan-Mu pada para ahli kaum keluarga baginda, para sahabat baginda, para pengembang dan pencinta agama-Mu, kepada para pejuang mempertahankan kebsaran kalimah-Mu, para hamba-Mu yang mencintai kebenaran, kepada hamba-Mu yang akrab dengan diri-Mu, kepada para waliullah, kepada para nabi dan rasul, kepada para umat Islam yang masih hidup ataupun sedang beradu di dalam kamar kubur. Ya Allah sampaikan salam doa ku ini kepada semua, sampaikan hajatku, tunaikan segala permintaan ku, jangan dirungkai dan dihijab segala permintaan cita-citaku. Segala puji untuk diri-Mu, segala kebesaran dan kemuliaan serta kehebatan hanya milikku, dan ku akui bahawa Engkaulah ya Allah, Tuhan bagi seluruh alam mayapada ini. Amin...Amin...Amin Ya Allah!!!!

Monday, August 16, 2010

Baru 6 Ramadan, kesabaranku telah dicabar

Assalamualaikum....
Bismillahir Rahmanir Rahim...

Aku berlindung dengan kebesaran, kehebatan dan kekuasaan Allah, dengan mengharap nur taufiq dari-Nya. Selawat berbingkiskan salam kepada Junjungan Besar, kekasih Allah Rasulillah S.A.W., penghulu segala nabi, pemberi syafaat dan pembawa rahmat kepada seluruh alam.
Ya Rabbi, kenapa rapuh benar iman dan sabarku ini? Ni la angkaranya kalau jawapan sesat mazhab sesat pemutar fakta yang dijawab oleh student2 Nursing Group ni. Lain aku ajar, lain dijawab! Lain aku beritahu, lain pula yang ditulis! Ya Rabbi ni la antara dugaan hidup kalau menjadi seorang pendidik. Kena menghadapi kegalalan pelajarnya menjawab soalan. Seorang pelajarnya gagal bermakna gagal pendidik itu mendidiknya. Betuk ke konsep ni? Boleh ke diaplikasikan sekarang ni? Entah la, mungkin kena pandang dari semua sudut, dari sudut pandangan dan perasaan pendidik, sudut pandangan dan perasaan yang dididik dan juga sudut faktor keadaan. Takkan saling salah menyalahkan.
Masuk kolej ni baru aku sedar, kat sini tak ada musim exam. Bayangkanlah jika stduent aku ni hanya kelas 2 minggu untuk aku habiskan silibus sembilan topik besar. Mengajar dari teori masyarakat sehingga kepada sejarah dan dasar negara, bukannya suatu perkara yang mudah. Aku kena lihat kemampuan dan keupayaan pelajarku. Tercapai objektif? Entah la...susah nak aku beritahu dan aku nak gambarkan. Tapi kalau dah student dah jawab, dan ada juga student menjawab dapat full mark, ini bermakna keobjektifan aku mengajar boleh dikatakan tercapai. Tetapi ada bentuk ukuran dan indikator yang perlu diaplikasikan kalau nak mengkaji kebaikan dan kelemahan pengajaran dan pembelajaran aku.
Hari pertama minggu ni, hari Isnin aku masuk kerja lambat sikit. Ini disebabkan kelas kuliah aku habis pukul 6 petang. Kemudian terkejar pula ke bazar Ramadan membeli juadah pembuka puasa. Kemudian balik ke Mantin...ke apartmen aku, mandi-manda dan siap-siap untuk berbuka. Lepas solat maghrib aku bersama kawan-kawan dan pelajar akan berpatah pula ke kolej balik bagi menunaikan solat isyak dan tarawih berjemaah. Tengok giliran untuk malam ni, aku kena jadi imam solat tarawih. Tak apalah, ok jer la. habis olat dalam sembilan setengah rasanya emsti aku ngan akwan-kawan aku meninggah kedai membasah tekak ataupun makan makanan ringan. Buat pelapik perut. Pukul 11 malam rasanya dah ada kat rumah, terus tidur. Sahur pukul 5 pagi bangun...mana tak mata mengantuk. Ditambah lagi dengan ubat batuk yang aku makan lagi...fuh baik punya lena tidurnya.
Oklah, aku rasa nak rehat kejap. Nak melelapkan mata sebentar. Sunat ni...berehat sebentar. Pukul 4 hingga 6 pula aku kena mengajar kuliah student Fisioterapi pula. Oklah yer...bye2...Assalamualaikum!

Friday, August 13, 2010

Hari Jumaat ( 31 Ogos 2010, 3 Ramadan 1431 Hijrah)

Assalamualaikum...
Ya Rabbi...ngantuknyer!!! Takkan baru pukul 10.30 pagi mata dah nak layu? Tak leh jadi ni. Ni la akibat tak bangun sahur, kelam kabut bangun 6.30 pagi. Kemudian terus merempit ke kolej sebab kulih pukul 8 pagi/ Betapa sabarnya aku dan student menunggu pintu dewan kuliah dibuka kunci pukul 8.15 pagi. Adui la, bulan puasa ni memang medan menguji kesabaran ler. Tak apalah, hati mesti kena tenang, mulut kena banyak diam. Tapi hakikatnya, Tuhan sahajalah yang Maha Mengetahui.
Risau sungguh aku ngan mak aku ni. Baru 3 hari puasa diserang angin dalam perut. Selalunya bulan puasa memang dia kena serang angin. Berhari-hari pulak tu. Kalau dekat boleh juga aku tolong urutkan, ni dah jauh. Just aku pesan kat abah aku, belikan ubat buang angin. Sekarang ni dah senang sikit, dah ada jual ubat buang angin. Beli je ubat tu sepapan, kunyah je dua biji. Harga pun Rm 2.00 je sepapan. Murah dan praktikal. Tapi aku dah lupa jenama ubat tu la. Memang sekali aku makan memang keluar angin. Sendawa n ttttttuuuuuutttttt (hehehehe!!!) je memanjang. Ok la tu, buang angin berlebihan dalam badan. Aku pulak bangun pagi dah pulak kaki aku cramp. Sakit yang amat. Hampir sepuluh minit la aku jenuh nak membetulkan kaki kiri aku yang berdenyut sakit. Nasib baik ok dah. Cuma sekarang ni aku risau 2 penyakit yang datang, pertama smaigrain yang kedua pedih ulu hati. Ni batuk ngan selesema tak habis-habis macam mana pulak ni??? Adui la...
Dalam ofis aku sekarang sunyi, ramai lecturer ada kelas. Aku pulak sambung kuliah pukul 2.30 petang sampai 4.30 petang. Ni kuliah terakhir aku untuk goup 34 Nursing, so lepas ni kelas aku hanya ada 2 kali sahaja seminggu. Selepas raya, azab lagi la...dengan kuliah yang banyak dan panjang. Harap-harap time tu suara ok la.
Ini je la buat masa ni. Aku dah ngantuk, elok lelap kejap. Nanti kalau tak kepala aku pening. sekian, assalamualaikum!!!

Thursday, August 12, 2010

Hari Khamis (2 Ogos 2010 bersamaan 2 Ramadan 1431 Hijrah)

Assalamualaikum...haper habor weh? Ater jelepek ker weh? Uishhh, teman tahu ler komer semuer tengah poser tapi jangan ler sampey nampak jelepek bebenor. Yang tengah keghojer, time rehat tu jangan asyik nak membegholoh membuter, se cober komer baca quran ker, berzikir ker...ader jugok faedah nyer weh.
Oklah, meleret sangat aku sembang ni. Apapun aku ucapkan selamat berpuasa bagi yang sedang berpuasa. Yang tak poser, opppsss...tak leh selamat. Kalau perempuan tu tak apa la ada 'lesen merah', tapi yang lelaki ni, kalau tak sihat, uzur syar'ie, tak apa la boleh la tak poser, tapi yang sihat walafiat tapi tak nak puasa...ni yang kes berat. Tak malu ke pada Allah yang sentiasa memerhati? Dah la tak poser, sanggup pergi pintu belakang kedai makan nak beli makan, siap tapau baikkkkkk punyerrr!!!! Sekali terkena tangkap, naik jer la van jenazah. Tak apa la naik van jenazah, kalau zaman Kesultanan Melayu Melaka, yang tak poser diarak naik kereta lembu kemudian sampai depan istana, kena hukum makan rumput depan istana Sultan. tu la yang dihukumkan dalam Hukum Kanun Melaka. Best dan praktikal juga hukuman tu kalau dibuat sekarang ni. Tak malu, bebudak kecik pun boleh poser. Boleh poser diaorang tu 30 hari, tak ada ponteng. Bila tanya kenapa sanggup poser macam orang dewasa, ada jawapan yang betul-betul aku respect kat sorang budak ni, jawapannya...saya malu kat Allah, takut kat Allah!!! Dia boleh jawab macam tu bila aku tanya, terkejut aku. Bernas sungguh jawapannya. Kecil-kecil lagi dah ada rasa takut, ada rasa malu pada Allah. Yang kita-kita ni pulak macam mana??? Aku boleh menjawab untuk diriku tapi tak boleh untuk orang lain...tepuk dada tanya selera.
Semalam 1 Ramadan berlalu. Alhamdulillah berjaya juga dihabiskan puasa. Semalam aku tetap bekerja sebab kolej tak ada cuti. Masuk kerja pulak pukul 8 pagi. Memang liat ler aku memula rasa nak pergi kerja mesti sampai sebelum pukul 8. Tapi hari ni Alhamdulillah, pukul 7.50 pagi dah sampai. Ini la akibat dan angkara lepas solat suubuh tidur balik. Kalau kat rumah kat kampung aku la, kalau mak aku tahu lepas subuh aku tidur lagi, maunya mak aku tu jerit marah kat aku. Sekarang ni aku busy ngan kuliah-kuliah yang aku sampaikan. Secara puratanya aku terpaksa mengajar 6 hingga 7 jam sehari. Maunya suara aku sakit, tekak perit. Dah makan ubat berbotol, tetiap malam minum air asam jawa, makan madu campur ngan perahan asam limau nipis...suara aku tetap macam ni. Dah more than one month macam ni. Tak apalah, aku sakit suara aku suruh student buat kajian kat library jer...buat persiapan untuk exam diaorang. Kalau tak siap assignment aku, kena siapkan cepat-cepat.
Berpuasa di tempat baru, merantau jauh ke selatan telah menyedarkan aku tentag sejarah perjalanan hidupku yang penuh berliku. Betul kata orang-orang tua, umur muda ni dicari dulu pengalaman. Tengok tempat orang, berdagang membawa diri mencari rezeki. Bila sampai masanya balik juga ke tempat asal. Terasa sedih juga buka poser diperantauan ni, jauh ngan mak abah di kampung. Tapi yang bestnya...aku dah ambil cuti nak balik kampung dari 28 sampai 31 Ogos ni. Nak jugak berbuka poser kat kampung. Yang tak bestnya pulak, cuti hari raya aku singkat sangat. Hari Ahad, hari raya ketiga dah kena balik ke Negeri Sembilan. Sebabnya, hari raya keempat aku dah mula kerja balik. Waaaaaa...beraya diperantauan betul nih!!!! TIDAK!!!!!!!!!!!
Tak apa...sabar la wahai hatiku. Tak apa, banyak faedah menanti. Berkorban dulu la demi kebajikan dan kebaikan masa depan kan??? Hurm...ngantuk juga mata ni. Alhamdulillah semalam ngan hari ni tak ada kelas, so apa lagi, happy lain mood jer la. Tu kertas exam 97 skrip bila aku nak tanda??? Alahai, tanggungjawab dah menanti....
Oklah, sebab tanggungjawab nak menanda exam tu dah memanggil, aku stop dulu coretan ini. Kalau ada masa ketika dan saatnya, aku mencoret lagi. Sekian...Ilal Liqa'...Assalamualaikum
AHLAN WASAHLAN WA MARHABAN YA RAMADAN AL-KARIM!!!!!