Thursday, January 31, 2013

Menjengah kembali sejak sekian lama menyepi

Assalamualaikum...apa khabar semua? Akhirnya, penulis terpanggil untuk memenuhi semula masa dengan menulis dan mencoret sesuatu dalam blog ini. Ampun dan maaf dipohon kerana sudah lama tidak aktif, baru sekarang ini seolah-olah ada seruan (mungkin ilham petunjuk dari Allah...Alhmadulillah) untuk penulis kembali aktif dalam blog.

Apa perkembangan penulis sekarang ni ye? Hurm....sekarang ni penulis masih bekerja di Nilai di tempat kerja yang lama, cuma sudah diangkat status menjadi sebuah Universiti Kolej dengan nama KPJ Healthcare University College. Penulis masih lagi menjawat sebagai seorang pensyarah di School of Behavioral Sciences and Humanities dengan diberi tanggungjawab mengajar subjek Pengajian Malaysia dan Bahasa Kebangsaan. 

Kini penulis hampir 3 tahun berada di negeri adat perpatih, sudah ramai kawan dan sahabat ditemui di sini. Mungkin sudah betah untuk tinggal di negeri gulai lomak cili padi ni kut...Insya Allah. Ada yang usik mengusik supaya penulis mencari jodoh dengan orang Negeri Sembilan. Oooooppppsss...yang tu tak boleh lagi penulis hendak bagi komen kerana kesibukan dengan kerja...dan kerja...dan kerja.... (Penat terasa, tetapi demi sesuap nasi diteruskan juga...walaupun hati dan perasaan Allah sahaja yang Maha Mengetahui...sabor bebanyak yop!!!)

Bagaimana pula dengan keadaan sekeliling? Isu dan sensasi apa yang sedang melanda dalam masyarakat dan negara kita? Yang tu penulis belum bersedia lagi untuk menulis. Biar sahaja dahulu walaupun ramai juga yang mengajak untuk berdiskusi berkenaan pelbagai perkara. Jujur penulis berterima kasih kerana masih ada yang sudi untuk berkongsi pendapat, idea dan percambahan ilmu dengan penulis. Walaupun ada juga pendapat dan idea bertentangan, namun inilah yang dinamakan rahmat dalam mencari kebenaran.

Penulis ada juga sekali sekala melawat ke laman blog dan laman sesawang individu, tokoh, parti politik, organisasi dan sebagainya. Cuma ada laman blog yang penulis rasa tak molek untuk dibaca, malahan apatah lagi untuk dijadikan satu bentuk wadah serta wacana ilmu yang terbaik. Tak cukup umpat cerca, maki hamun dan bodek membodek dalam akhbar, kini berlaku dalam dunia tanpa sempadan ini. Cukup takut...cukup mengerikan dan cukup mengaibkan bagi pendapat penulis. Tapi penulis takkan buka isu ini buat masa ini. Ada masa dan saat tikanya nanti Insya Allah jari jemari penulis ini akan membuka gelanggang pencak silatnya di atas kekunci komputer riba ini. Insya Allah, hasilnya akan terpapar di skrin anda, dan bacalah dengan saksama serta berlapang dada. Jika ada yang ingin dikongsikan, penulis amat alu-alukan. Jika tidak berpuas hati hubungi penulis, kita leraikan kusut minda dan kesumat di dada.

Itu sahaja dari penulis buat masa ini. Bertemu lagi dalam penulisan yang akan datang...nantikan kehadiran entri blog terbaru. Assalamualaikum!!!

Saturday, June 25, 2011

Di mana nilai kesopanan dan kesusilaan rakyat Malaysia?

Justify FullAssalamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdulillah syukur kepada Allah kerana sekali lagi kita bertemu dalam penulisan blog penulis pada hari ini. Ketika saat blog ini dinukilkan, penulis sekarang berada di dalam bas bergerak dari Kuala Lumpur menuju ke halaman kampung tercinta, Ipoh. Penulis mengambil cuti rehat selama dua hari untuk melarikan diri seketika dari kesibukan rutin harian sebagai seorang pensyarah Pengajian Malaysia di Kolej KPJ.

Isu yang cuba untuk diketengahkan oleh penulis kali ini berkenaan kesopanan dan kesusilaan. Sebagai orang yang tinggal di Timur, masyarakat Malaysia pada amnya, Melayu khususnya, terkenal dengan kehalusan dan kesopanan nilai tatacara kehidupan yang tinggi. Setiap aspek cakupan kehidupan masyarakat Malaysia sebenarnya bertunjang kepada kesopanan dan kesusilaan, berdasarkan kepada kepercayaan adat dan amalan praktis agama yang dianuti masing-masing. Malahan kesopanan dan kesusilaan juga di dalam prinsip idealogi Rukun Negara Malaysia sebagai sebahagian amalan kehidupan berdemokrasi Malaysia.

Cuma apa yang penulis kesalkan dan rasa begitu sedih, di manakah nilai kesopanan dan kesusilaan masyarakat Malaysia. Acapkali penulis begitu tersentuh melihat golongan orang kelainan upaya, orang tua ataupun mereka yang sakit tidak dipedulikan langsung di dalam mana-mana kenderaan awam. Kepada mereka yang sering membantu mereka, ucapan jutaan tahniah, syabas dan terima kasih kepada anda. Anda telah menunjukkan adab nilai ketimuran yang tinggi serta masih mempunyai kekuatan serta keutuhan nilai moraliti. Bagi mereka yang langsung tidak mempunyai perasaan belas ihsan kepada golongan yang penulis sebutkan tadi, celiklah mata, bukalah pintu hati. Fikirkan sejenak apakah kita mahu menjadi seperti mereka?

Tadi penulis menaiki komuter dari Batang Benar ke Bandar Tasik Selatan. Di dalam tren penulis hanya berdiri memandangkan ramai penumpang. Setibanya di Stesen Koumuter Kajang, terdapat orang tua dan seorang wanita buta yang menaiki tren tersebut. Alangkah sedihnya hati penulis apabila ramai orang Malaysia tidak mempedulikan kehadiran mereka. Malahan, tidak pula dipelawa memberi tempat duduk kepada mereka. Apa yang penulis terasa ialah, seorang makcik yang lewat usia sanggup memberikan tempat duduknya kepada wanita buta berkenaan. Makcik itu berdiri sehinggalah penulis keluar di Stesen Komuter Bandar Tasik Selatan. Kelihatan makcik itumasih berdiri. Dihadapannya, seorang pemuda lelaki Melayu yang senang lenang bersembang melalui telefon bimbitnya. Tidak mempedulikan makcik yang berdiri dihadapannya. Masya Allah, apakah kerana terlalu asyik menelefon (mungkin menelefon buah hati pengarang jantungnya) sehingga tidak sedar wanita tua itu berdiri dihadapannya? Bagi penulis, seburuk-buruk hati dan seteruk-teruknya perangai apabila tidak memandang berat kepada ketidak upayaan seseorang yang perlu diberi bantuan. Apakah ini yang terdidik dan dimiliki oleh golongan orang muda kini?

Sehingga ini pelbagai persoalan bermain di benak sanubari dan pemikiran penulis. Dari sudut keagamaan, dari sudut moraliti, pendidikan dan sebagainya. Semuanya itu saling melengkapi antara satu sama lain. Namun demikian, jika sifat dan nilai kasih, kesopanan dan kesusilaan di dalam diri kita masih lemah, ini menunjukkan ketempangan, kecetekan dan kejumudan kita dalam menerobos sempadan makna hakikat kehidupan sebenar. Pegangan agama yang lemah, moraliti yang sumbang dan keegoan merupakan antara perkara yang memberi kesan kepada pembentukan sahsiah dan disiplin diri.

Bagaimanakah nasib masa depan negara kita di bumi bertuah ini andai kesopanan dan kesusilaan masyarakat semakin terhakis? Penulis amat takut jika negara bertuah ini diwarisi oleh mereka yang rakus, biadab dan kecetakan terhadap pengetahuan agama akan mebawa ke gerbang kehancuran. Penulis menasihati diri penulis sendiri yang serba serbi lemah dan jahil ini, serta kepada pembaca budiman sekalian, marilah kita mantapkan pegangan jati diri kita. Tidak akan jatuh maruah dan kehebatan diri andai kita merendahkan diri, melakukan perbuatan yang bukan sahaja memberi impak positif diri, malahan dipandang sebagai penegak kepada pembudayaan ajaran agama yang kita anuti.

Sekian sahaja penulisan kali ini. Diharapkan apa yang baik dari penulis dapat dijadikan iktibar. Mrilah kita muhasabah diri, merenung hakikat makna diri. Bukan mencermin orang lain, baik menengok cacat celanya tepi kain kita dahulu sebelum mahu mengintai menjaga tepi kain orang lain. Sekian...wassalam.

Thursday, June 23, 2011

Melayu dan segala cekupan kehidupan (Siri 1)




Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Maaf kerana terlalu lama tidak up date blog. Ni pun baru ada sedikit kelapangan masa untuk menambah entry dalam blog. Topik untuk sama-sama dibincangkan di sini ialah berkenaan kesilapan orang Melayu. Kesilapan di sini ingin disentuh berkenaan soal politik, ekonomi dan sosial masyarakat Melayu. Diharapkan nukilan blog ini memberi sedikit sebanyak perbincangan dan mampu memberi buah idea pendapat untuk sama-sama kita renungi, hayati dan mengambil iktibar disebaliknya.

Bumi yang bertuah, tempat dinaungi awan berarak selalu; disirami hujan sepanjang tahun. Dikurniakan Allah dengan hasil hutan, hasil bumi dan segala mahsul kekayaan yang menjadi kesitimewaan bumi ini. Inilah bumi Malaysia. Bumi yang dihuni lebih kurang 27 juta orang rakyat yang terdiri dari pelbagai ras etnik kaum, agama, budaya, bahasa, pemikiran dan citarasa. Wadah yang mempertaut dan mempelbagaikan Malaysia ini mengalami proses sejarah transformasi, pengubahsuaian dan penyesuaian yang begitu panjang.

Di bumi Malaysia ini, orang Melayu merupakan kaum yang dianggap dominan. Orang Melayu mempunyai pelbagai ras etnik di dalamnya; terdiri daripada suku penghijrahan dari sekitar pelusuk Nusantara. Ini rupa orang Melayu, ini sikap dan sifat orang Melayu. Merantau, membuka lembaran catatan kehidupan di tempat orang; inilah sifat jati diri orang Melayu yang diwarisi sejak sekian lama. Iklim cuaca dan bentuk geografi yang hampir sama dengan tempat asal, penghijrah ini datang bermukim di alam Tanah Melayu. Di sini tersedia semua, cuma tinggal usaha dan kerajinan, sama ada malas ataupun culas; terpulang kepada mereka yang mahu kepada perubahan diri dan keluarga.




Orang Melayu yang berdatang hijrah ini akhirnya bersebati dengan masyarakat tempatan alam Tanah Melayu. Bermula saat inilah orang Melayu mengorak langkah, menjadi tuan empunya tanah bertuah ini. Meneroka tanah, terlibat dalam pertanian dan sedikit sebanyak menjadi pedagang dan peniaga menjadi sebati dalam kehidupan mereka. Di sinilah mereka mencari harta kekayaan, kekayaan yang dilapis dengan tuntutan agama Islam dan perbilangan pepatah adat. Orang Melayu terkenal sikap dengan kesederhanaan dalam perbuatan, sikap dan pandangan terhadap kehidupan. Jangan dipersalahkan dengan konsep kesederhanaa, kerana selalu segelintir orang Melayu yang mempunyai jiwa konservatif berpandangan bahawa kehidupan bersederhana hanya cukup untuk makan, pakai dan tempat tinggal. Sebenarnya konsep kesederhanaan itu bukan dari segi sekadar cukup sahaja. Kesederhanaan tidak melarang kita dari mencari rezeki lebih dari sekadar dari mencukupi. Tidak salah, malah tidak dilarang di dalam ajaran Islam untuk mencari rezeki dan kekayaan. Seburuk-buruk bangsa adalah bangsa yang merempat dan mengemis di tanah sendiri. Cuma adat sahaja yang melihat kekhuatiran umat Melayu yang tidak sedar diri jika terlebih-lebih. Bagi pendapat penulis, jika dipegang dengan ajaran Islam sejati dan ditambah menjadikan adat sebagai peringatan, rasanya umat Melayu mampu membangun lebih hebat. Biar kaya dengan harta mata benda, biar melimpah ruah kekayaan umat Melayu meliputi seluruh alam buana ini, namun orang Melayu tetap menjadi umat berhemah, memandang kepada kesederhanaan sebagai meningkatkan martabat diri di mata dunia. Insya Allah, umat Melayu mampu berjaya jika kesederhanaan dalam hidup dilengkapi dengan kemewahan harta benda.

Umat Melayu perlu sedar perkembangan dan arus perdana semasa. Orang Melayu bukan hanya sekadar menanam sawah sepetak dua, menternak sekadar dua tiga ekor lembu. Umat Melayu yang terkenal sebagai pelayar dan pedagang seperti dahulu perlu dihidupkan budaya tersebut. Umat Melayu tidak perlu menjumud diri dalam minda bahawa segala keperluan kehidupan hanya ada cukup pakai, makan dan tempat tinggal sahaja. Penulis bukan ahli politik untuk menyusun strategi mempolitikkan ekonomi orang Melayu. Cukuplah bahawa kita ini selalu sangat diberi 'tongkat' untuk bertatih berjalan, cukuplah dikenali bangsa 'paling kuat subsisidi dalam dunia'. Melatah bila hak istimewa dan kesakralan mulianya subsidi di kalangan orang Melayu ditarik balik. Inilah akibat terlebih selesa dengan penghuluran 'tangan-tangan' yang memberi, sehingga hilang malu mengemis meminta-meminta di bumi sendiri. Allah kurniakan kaki untuk kita berjejak di atas tanah, tanpa meminta yang lain menjejak kaki ini ke tanah. Falsafah kaki ini perlu diguna pakai oleh orang Melayu. Jangan cemari kecantikan dan kekuatan orang Melayu dengan menghodohkan akal budi sehingga menjadi orang paling merempat di bumi bertuah ini

Ini sahaja nukilan penulis buat masa ini. Penulis amat mengalu-alukan pembaca budiman memberi sebarang komen, teguran dan cadangan yang membina. Nasihat yang baik itu mahal harganya. Nasihat yang baik tidak ternilai dengan harga harta dunia. Nasihat yang baik jambatan kepada ilmu dan pembangunan diri manusia. Silakan semua. Semoga kita ketemu lagi di lain masa. Assalamualaikum.

Saturday, December 4, 2010

Sejarah Awal Negara

SEJARAH AWAL NEGARA MALAYSIA (BAHAGIAN 1)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Kembali sekali lagi saya untuk up date blog ini, khas untuk tatapan pelajar-pelajar saya atau sesiapa pembaca budiman yang ingin mendalami sejarah negara Malaysia. Baiklah, jika post yang lepas saya telah menulis berkenaan perpaduan negara, menumpukan kepada sejarah kedatangan imigran Cina dan India, menjurus kepada sejarah pembentukan pelbagai kaum di Malaysia, kini saya menyentuh pula satu lagi bab iaitu berkenaan sejarah awal negara, iaitu merupakan bab ke-2 dalam Pengajian Malaysia (mengikut sukatan yang saya beri kepada pelajar).

Seringkali atau acapkali saya membaca dan meniliti penulisan berkenaan sejarah Malaysia, mesti ia dimulakan dengan pengasasan kerajaan Kesultanan Melayu Melaka. Namun pada hakikatnya, sejarah yang tercipta di bumi bertuah Malaysia ini sebenarnya bermula lebih lama sebelum kewujudan empayar Melayu teragung tersebut. Di Semenanjung Malaysia, jumpaan arkeologi dan kajian yang tuntas dari ahli sejarawan mendapati bahawa sejarah di negara kita terbentuk sejak zaman prasejarah lagi. Penemuan dari carigali mendapati artifak yang tersimpan di dalam perut bumi membuktikan kepada hakikat kewujudan manusia zaman prasejarah. Di Malaysia, penemuan zaman prasejarah dapat dibahagikan kepada 3 zaman yang utama iaitu zaman Paleolitik (kira-kira 35 000 hingga 50 000 tahun dahulu), Mesolitik (kira-kira antara 20 000 hingga 10 000 tahun dahulu) dan Neolitik (kira-kira 5000 hingga 3500 tahun dahulu). Walaupun zaman ini tidak menunjukkan bukti dalam bentuk penemuan penulisan, namun jumpaan tengkorak, batu-batu yang direpih disamping disokong dengan bantuan dari pakar geografi dan saintis, ini membuktikan bahawa sudah ada manusia mendiami Semenanjung Malaysia ini, malahan juga dapat ditemui di Sabah dan Sarawak. Kemungkinan juga teori migrasi yang menyatakan bahawa keturunan Melayu berasal dari Yunnan (China) atau dari India boleh ditolak, namun memerlukan lebih penyelidikan dan kajian yang mendalam bagi melihat kebenaran fakta ini.

Gambar di atas merupakan sebahagian daripada usaha ahli arkeolgi dari Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang yang telah membongkar penemuan artifak dan rangka manusia (Perak Man) di Lenggong, Perak. Penemuan batu-batu dan rangka tulang manusia ini adalah sekitar zaman Paleolitik. Jika ada kesempatan boleh melawat di Muzium Arkeologi Lenggong, Perak.

Perubahan hidup kepada menetap pada zaman Neolitik dan bermulanya fasa perubahan ke zaman logam (kira-kira 2500 tahun dahulu) telah memulakan bibit ke arah pembentukan kerajaan Melayu awal. Penemuan dan kepandaian manusia dalam penggunaan logam, terutamanya logam emas, besi dan timah memulakan kepada perubahan zaman yang dikenali sebagai zaman protosejarah. Kemewahan hasil bumi Tanah Melayu dan sekitarnya telah menarik pedagang dari India, Arab dan China untuk datang berdagang. Tanah Melayu , Sabah dan Sarawak dilimpahi dengan hasil hutan seperti kayu kayan yang bermutu tinggi, rempah ratus, sarang burung layang-layang berkualiti terbaik di dunia, emas, bijih timah dan sebagainya menjadi idaman pedagang-pedagang ini untuk ditukarkan dengan barangan mewah dari China seperti sutera dan barangan tembikar, manik, teh, alat senjata, wangian dan sebagainya. Dari India pula didatangkan pula dengan rempah, kayu wangi, wangian untuk wanita, senjata, permata, emas, kain kapas dan sebagainya. Dari benua Arab membawa barangan dagangan Eropah seperti kain bulu, benang, hamba abdi dari Afrika, kapur barus, cendana, kemenyan, emas, rempah, batu permata dan sebagainya. Limpahan barang dagangan ini dapat ditemui melalui bukti jumpaan arkeologi di sekitar Lembah Bujang di Kedah, Beruas dan Manjung di Perak, Kuala Selinsing juga di Perak, Jenderam Hilir di Selangor, di Tanah Merah, Kelantan dan di Santubong, Sarawak. Sebenarnya banyak lagi tempat-tempat lain yang ditemukan bukti arkeologi. Paling penting zaman Protosejarah ini, bukti-bukti kewujudan kerajaan-kerajaan Melayu awal seperti kerajaan Gangga Negara (Perak), Kedah Tua (Kedah), Chih Tu (Kelantan), Phan Fan (Pahang) dan sebagainya tersimpan dalam bentuk penulisan dari pedagang dan pengembara dari benua Arab, India, Parsi (Iran), Yunani, Rom dan China. Pada zaman protosejarah ini juga menyaksikan pengaruh Indianisasi meresap dan berharmoni dengan kepercayaan, cara hidup dan world view masyarakat tempatan. Saya tidak mahu menggunakan pengaruh Hindu-Buddha kerana ini hanya merujuk kepada keagamaan. Hakikatnya, resapan budaya India juga turut mewarnai watak dan 'hidupnya' budaya Melayu yang sehingga sekarang masih berakar umbi walaupun semakin terhakis di pupus zaman.

Kerajaan Kedah Tua (Lembah Bujang)

Gambar-gambar di atas adalah sebahagian dari penemuan dan demografi kedudukan Lembah Bujang. Lembah Bujang ini dikatakan wujudsekitar abad ke-6 hingga abad ke-8 Masihi. Pengaruh Indianisasi begitu jelas dengan jumpaan candi-candi yang banyak berselerakan sehingga di atas kemuncak Gunung Jerai. Kerajaan ini dikatakan lemah akibat serangan Rajendra Chola dari India dan juga penguasaan Srivijaya. Ketika era kegemilangannya, kerajaan ini menguasai sebahagian Sumatera dan juga meluaskan pengaruh sehingga ke Langkasuka (Thailand) sehingga ke selatan berhampiran Kuala Selinsing (di Perak).


Kerajaan Gangga Negara (Beruas)
Gambar di atas ialah berkaitan dengan kerajaan Gangga Negara. Kerajaan ini pernah dinukilkan kewujudannya oleh Tun Seri Lanang di dalam adikaryanya yang bertajuk Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu). Kerajaan ini sering berpindah kerana akibat banjir dan aliran air Sungai Perak yang berubah. Bukti arkelogi amat berkurangan berbanding dengan penemuan di Kedah. Kerajaan ini dikatakan jatuh apabila serangan Raja Rajendra Chola (dalam Sejarah Melayu dikenali sebagai Raja Suran) selepas kejatuhan kerajaan Kedah Tua. Dikatakan juga kerajaan ini terlalu besar kerana untuk seekor kucing menghabiskan melompat dari satu bumbung ke satu bumbung rumah lain mengambil masa selama 3 bulan. Kerajaan ini kaya dengan hasil galian bijih timah dan mempunyai hubungan dagangan dengan kerajaan Kedah Tua.

Baiklah, sampai di sini sahaja penulisan saya dahulu. Jika sebarang pertanyaan boleh post di dalam ruangan blog ini. Insya Allah sedaya upaya saya akan cuba menjawab dan dapat kita sama-sama bertukar fikiran. Secara kesimpulannya, kita seharusnya berbangga dengan peninggalan sejarah negara kita dan patut berbangga juga kerana kemewahan yang dimiliki oleh negara kita sehingga mampu duduk dan berdiri sama tinggi dengan dunia luar. Nantikan penulisan saya seterusnya di dalam blog ini.

Sekian, terima kasih dan Assalamualaikum.


Wednesday, November 17, 2010

Teras perpaduan dalam pembinaan negara bangsa


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Terlebih dahulu saya ucapkan jutaan terima kasih kerana kesudian anda membaca blog saya ini. Sebenarnya penulisan saya ini lebih menjurus kepada penambahan dan pemahaman para pelajar saya yang sedang mengikuti kuliah LAN 1003-Pengajian Malaysia di KPJ International College of Nursing and Health Sciences. Diharapkan agar anda mengambil sedikit sebanyak manfaat, buah fikiran dan medan perbincangan ilmiah yang saya sampaikan. Kuliah secara dua hala di dalam kelas tidak dipasakkan di dalam keobjektifan saya dalam mengajar dan mendidik. Tetapi saya lebih suka menggunakan arus teknologi moden semasa, terutama dari blog ini agar anda dapat menambahkan kefahaman apa yang dipelajari. Jika ada sebarang komen,boleh ditulis diruangan komen ini.

Baiklah, berkenaan kuliah pertama saya berkenaan pengenalan masyarakat di Malaysia. Saya ingin menyentuh subtopik berkenaan teras perpaduan dalam pembinaan negara bangsa. Seperti sedia maklum, negara kita terdiri daripada pelbagai ras etnik dan kaum yang menghuni di bumi tercinta ini. Walaupun dalam kepelbagaian budaya, adat resam, kepercayaan, nilai dan pemikiran, namun kepelbagaian ini mewujudkan ke arah satu bentuk kesatuan perpaduan yang dilihat mempunyai ciri keistimewaan yang tersendiri. Malah tidak mustahil dikatakan bahawa kepelbagaian yang unik ini menjadi teras dalam kekuatan negara bangsa kita, malah mungkin tidak ada banyak negara yang boleh menandingi kehebatan dan keutuhan Malaysia dari segi perpaduan bangsanya.

Menyorot kembali berkenaan perkembangan sejarah bagaimana pembentukan negara bangsa Malaysia yang pelbagai ragam coraknya, kita kembali kepada sudut ekonomi dan politik negara kita. Seperti sedia maklum, sejak sekian lama kawasan Tanah Melayu ini menjadi tumpuan perdagangan dan laluan maritim. Sekurang-kurangnya sejak abad kelima Masihi, melalui catatan-catatan pedagang dari Parsi, India, Rom, Yunani dan China telah memberitahu sedikit sebanyak informasi berkenaan bumi Tanah Melayu ini. Gelaran Suvarnabhumi (Bumi Emas) atau Golden Chersones (Semenanjung Emas) yang diberikan oleh pedagang India dan Rom membuktikan bahawa kekayaan Tanah Melayu yang kuat menarik perhatian para pedagang untuk bersinggah dagang ke sini. Negara kita dilimpahi dengan hasil hutan dan kekayaan hasil bumi iaitu bijih timah dan emas menarik perhatian mereka. Tidak mustahil dinyatakan bahawa kewujudan negara kita ini juga berkait rapat dengan unsur kegiatan perniagaan dan perdagangan bersifat antarabangsa. Sepatutnya kita berasa bangga dan mencontohi betapa kehebatan negara kita sebenarnya terletak kepada perniagaan dan perdagangan bersifat antarabangsa sejak sekian lama.

Kewujudan Kesultanan Melayu Melaka mulai akhir abad ke-14 merancakkan lagi perkembangan perdagangan dan perniagaan antarabangsa. Melalui catatan Portugis dan Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) telah dinyatakan petempatan pedagang dan santeri luar yang datang ke Melaka, iaitu di kawasan Hilir Melaka, kewujudan Kampung Kling dan juga Bukit China. Walaupun begitu ini tidak bermakna kewujudan petempatan ini terlalu besar kerana mereka bukan datang duduk menetap.

Kedatangan imigran Cina dan India sebenarnya lebih dikhususkan kepada dasar penjajahan British semasa menjajah bumi Tanah Melayu ini. Keterbukaan dan kesediaan pihak British memberi peluang imigran Cina dan India ini datang disebabkan fungsi mereka dalam perusahaan bijih timah dan getah. Orang Cina terlibat dalam perusahaan bijih timah dan ada yang membuka perniagaan dan perusahaan di kawasan bandar. Orang India pula bekerja dalam sektor getah dengan menjadi penoreh. Faktor-faktor ini dikenali sebagai faktor penarikan iaitu peluang ekonomi untuk mereka terbuka dan dasar penjajah British sendiri menggalakkan kedatangan mereka. Bagaimana pula dengan orang Melayu? Bagi pendapat sang penjajah ini, orang Melayu perlu dan hanya menjadi petani, membekalkan beras dan bahan makanan tanpa perlu diberi kemajuan yang berlebih-lebihan. Dasar British ini dikenali divide and rule atau dikenali sebagai pecah dan perintah. Harapan British sebenarnya supaya 3 kaum utama di Tanah Melayu tidak akan bersatu padu dan tidak akan menjejaskan reputasi British.
Walaupun begitu, kita juga perlu meninjau apakah situasi yang berlaku di negara China dan India. Keadaan bencana alam, kebuluran, kadar kelahiran yang tinggi dan kemiskinan memaksa mereka keluar berhijrah. Keadaan ini diburukkan lagi dengan pergelutan politik yang berlaku di tempat asal mereka memaksa mereka mencari tempat untuk kehidupan baru. Tanah Melayu yang dianggap penyelesai kepada permasalahan mereka.

Baiklah, saya hadkan perbincangan disini dulu. Saya akan menambah lagi bahan-bahan dan isu-isu semasa yang boleh kita berkongsi dari semasa ke semasa. Sekian dahulu, assalamualaikum!

Monday, November 15, 2010

Dimana silap kita?





Assalamualaikum, salam sejahtera. Terlebih dahulu faqir meminta maaf sangat-sangat kerana sudah lama faqir ini tidak up date blog faqir. Terlalu sibuk faqir ini dalam urusan kerja sehingga tidak sempat untuk meluangkan masa mencoret dan menukilkan sesuatu.





Mengapa pula faqir letakkan gambar buku teks sejarah ini? Faqir rasa sudah tentu ramai yang maklum apa yang faqir ingin bincangkan di sini. Ya...sudah tentu berkenaan subjek Sejarah yang dijadikan subjek wajib lulus peringkat SPM. Sejak Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Pelajaran Malaysia telah mengumumkan berita yang dianggap menggemparkan ini. Ramai sarjana, politikus, pelajar dan individu-individu tampil memberi pandangan berkenaan perkara ini. Ramai juga yang bertanya kepada faqir apakah pendapat faqir. Secara dasarnya faqir melihat ini langkah yang baik, cuma perlu ada cara dan jalan penyelesaian yang bijak. Bagi faqir, faqir sendiri terlibat dalam 2 sitausi, iaitu belajar subjek Sejarah dan pernah mengajar subjek Sejarah (kini subjek Pengajian Malaysia di KPJ College-namun ini hampir sama dengan subjek Sejarah peringkat sekolah) dan faqir amat berharap agar jangan perkara ini seperti melepaskan batuk ditangga.

Faqir cuma amat risau jika penekanan kepada subjek Sejarah menjadi subjek wajib lulus menyebabkan guru-guru dan pelajar makin terbeban. Faqir sendiri mendapati bahawa sistem pendidikan sekolah di Malaysia sangat menumpukan kepada orientasi peperiksaan. Pelajar menyumbat dan mengisi segala macam fakta dan teori secara bulat-bulat dan dimuntahkan dalam jawapan, sama ada dalam bentuk objektif ataupun esei. Ni bukan berlaku dalam subjek Sejarah, tetapi juga termasuk subjek-subjek yang lain. Paling faqir kasihani apabila pelajar-pelajar faqir yang pernah faqir ajar dahulu mengeluh kerana kerja rumah yang diberi terlalu banyak. Faqir cukup risau dengan sitausi ini,kerana dari dahulu sampai sekarang permasalahan ini tidak ada jalan penyelesaian.

Isu yang bersangkut paut dalam subjek ini pula berkait rapat dengan motif idealogi politik. Benar, sejarah dapat memainkan sentimen nasionalisme dan semangat jati diri. Memang tidak dapat lari dari hakikat sejarah dipenuhi dengan pengkisahan aksi watak politik yang mewarnai sudt sejarah. Kita kena faham hakikat bahawa bentuk penulisan sejarah bergantung kepada motif dan niat seseorang individu atau sekelompok yang berkepentingan dalam menulis sejarah. Boleh ke seseorang itu menulis sejarah tanpa diwarnai perasaan bermotifkan kepentingan sesuatu? Ataupun seseorang hanya menulis sejarah tanpa menyampaikan pendapat, pandangan dan juga citarasanya? Bagi faqir, ini amat mustahil. Sebagai contoh, kita semua bersetuju dengan kekejaman Hitler semasa Perang Dunia Kedua? Bagaimana kita tahu kekejaman Hitler? Mengapakah kita sendiri meletakkan dan menilai diri yang bernama Hitler itu terlalu kejam? Jawapannya dari fakta, ahli sejarah menyusun dan kemudian melakukan sendiri pengadilan moralnya kepada Hitler. Lantas, seantero dunia tahu dan faham tentang kekejaman Hitler. Berbalik kepada fakta dan sejarah Malaysia. Adakah penulisan sejarah buku teks di Malaysia perlu ditulis tanpa melihat atau kecondongan kepada parti yang memerintah Malaysia? Atau menulis seperti memetik kata-kata pendapat Leopold Von Ranke, menulis sejarah seperti ..."seperti sebenarnya yang telah berlaku". Mustahil juga yer???


Memetik pendapat dan pandangan seorang sejarawan Barat yang gambarnya di atas ini, E.H. Carr di dalam bukunya yang bertajuk What is History? , beliau sendiri menyatakan bahawa ahli sejarawan menulis berdasarkan fakta yang didapati kemudian menggabung jalinkan antara fakta dan pendapatnya yang disokong dengan bukti fakta-fakta yang dikumpulnya. Beliau sendiri menyatakan ahli sejarah itu menulis sesuatu peristiwa atau karya sejarah tidak ubah seperti seorang tukang masak yang mempersembahkan masakan seekor ikan. Apa kaitannya? Jom kita fikirkan. Bukankah seorang tukang masak akan membelah atau memotong ikan dengan cara mereka yang berlainan kemudian dimasak dengan pelbagai cara dan dihidangkan dengan hiasan pelbagai cara. Tetapi walau bagaimanapun cara persembahan masakan ikan itu, kita akui ikan itu memang ikan. Nak tentu sedap atau tidak kita kena rasa. Begitu juga dengan penulisan dan intepretasi sejarawan terhadap sejarah.

Memang terlalu sukar untuk dirungkai perkara ini. Bagi faqir dan nasihat faqir, jangan jadikan pelajar beban dengan subjek wajib lulus ini. Pelajar bukan robot menghafal tanpa ada intipati nilai jati diri. Perlu ada satu mekanisme dalam menentukan sukatan, corak pengajaran dan pembelajaran dan bentuk soalan peperiksaan yang lebih mengutamakan keperluan dan kehendak semasa. Semestinya juga ahli akademik dan mereka yang terlibat dalam subjek matapelajaran Sejarah dipanggil berbincang duduk semeja mencari kata sepakat bagi merungkai permasalahan ini. Faqir berharap dengan niat murni untuk menjadikan matapelajaran Sejarah dianggap penting dan masih releven dengan dunia kini akan menjadi kenyataan, dan bukannya menjadi igauan omongan kosong.

Sekian sahaja dahulu dari faqir. Assalamualaikum.

Saturday, September 18, 2010

Bila buta sejarah atau tidak mementingkan sejarah...

Assalamualaikum. Apa khabar semua? Terlebih dahulu saya ucapkan selamat hari raya, maaf zahir dan batin kepada semua. Raya sebulan...puasa enam dah ditunaikan? Walaupun sunat...tapi digalakkan dan dituntut? Sebulan menahan lapar dan dahaga, halang diri dari melakukan perkara yang ditegah oleh Allah dan Rasul-Nya. Jangan pula bulan Syawal menebus semuanya, semuanya hentam. Tak guna tarbiyah bulan Ramadan kalau kita pandai bermuka-muka buat baik pada bulan Ramadan tapi bulan lain semuanya terus menerus perangai tak elok.

Tarikh 16 September...tarikh keramat pembentukan sebuah penubuhan Malaysia yang merdeka, terangkum wilayah Sabah dan Sarawak. Singapura pula tertalak keluar dari gagasan Malaysia akibat angkara ulah Lee Kuan Yew. Tak ramai tahu tarikh ni, yang cuma tahu tarikh ini diisytiharkan cuti am. Yer la, cuti...boleh sambung qada' tidur. Akhirnya tarikh ini menjadi hari cuti am dan sambutan perayaan Hari Malaysia yang ke-47 jatuh pula pada bulan Syawal.

Di sini aku tak mahu nak ceritakan atu mengkuliahkan hari pembentukan Malaysia. Di sini aku ingin merungkaikan segala kerisauan aku berkenaan tentang tahap penguasaan, pemahaman, pengertian dan penghayatan sejarah, apatah lagi berkaitan dengan negara. Aku bukan mahu berserkap jarang, pandai menyalak ke bukit atau beromongan kosong, tetapi hakikatnya aku sendiri yang alami dan apa yang aku perhatikan. Terus terang aku cakap, aku sedih dan tergamam dengan tahap penguasaan dan pemahaman sejarah di kalangan masyarakat Malaysia. Betul la, terlalu mengajar pemodenan, sains dan teknologi sampai jiwa dalaman kosong, buta hakikat. Memang keras dan keterlaluan aku katakan ini, tapi inilah hakikat yang berlaku. Aku sedih, sangat kecewa dan marah kerana tanggapan sinis dan provokasi terhadap kepentingan sejarah dalam pembangunan negara. Tak pentingkah sejarah? Tak pentingkah nilai pembinaan jati diri bangsa?

Sekarang ni macam-macam berlaku dalam negara ini. Ketidak puasan hati, suara-suara sumbang mempertikaikan hak Bumiputera, sudah ada bibit-bibit menghancurkan tembok perpaduan. Masing-masing mula berkata itu ini, keretakan dalam perpaduan Melayu angkara berbeza mazhab politiknya, tututan dan rasa luahan tidak puas hati dari bukan Melayu bergema, adakah semua ini berlaku secara tiba-tiba? Mana perginya pelajaran dan hikmah sejarah yag dipelajari sejak bangku sekolah lagi? Sudah lupakah semuanya? Aku sedih, cukup pilu dan kecewa dengan semuanya. Ini semuanya kerana kita buta sejarah, pandang sebelah mata pun tidak dengan buku sejarah. Matapelajaran sejarah semata-mata belajar nak skor A dalam SPM, senang nak mohon biassiswa JPA. Tapi dalam jiwa...kosong dan pudar dengan makna dan hakikat sejarah.

Di kolej tempat aku mengajar ni pun aku dah terima tempiasnya. Sesungguhnya banyak persoalan aku bermain-main dalam jemala minda aku ni. Adakah disebabkan salah ajaran? Ataupun disebabkan memang malas nak membaca? Atau memang membenci sejarah? Bayangkanlah kalau soalan bertanya berkenaan faktor kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka disebabkan oleh serangan Jepun. Ya Rabbi...Ya Allah. Ini soalan yang direct, yang tidak bersimpang siur, yang memang semua sedia maklum disebabkan oleh serangan Portugis. Ada yang disebabkan British pun ada. Adui la...apa semua ni? Memang aku geram, geram pada semuanya. Salahkan sistem? Ataupun salah pelajar? Ataupun salahnya semua dari aku? Aduhai...mana satu ni nak disalahkan? Macam lagu bangau oh bangau....disalah sana, disalah sini. Habis mana satu yang bertanggungjawab? Kenapa tak semua yang bertanggungjawab?

Aku tinggalkan persoalan ini. Aku sendir sedang mengkaji dan mahu merungkai permasalahan ini. Kalau dibiarkan makin menjadi-jadi penyakitnya...aku risau dan takut nanti akan memusnahkan semuanya. Sekian sahaja dariku, Assalamualaikum!