Tuesday, August 24, 2010

Apabila runtuhnya Melaka...terisikah jiwa yang kini merdeka?





Kisah 1511

Assalamualaikum...

Hari ni 24 Ogos 2010...bersamaan dengan 499 tahun sudah Melaka tewas di tangan Benggali Putih Portugis yang dipimpin oleh Alfonso de Albuequeque. Alfonso, orang yang bertanggungjawab menggerakkan kuasa Portugis di Timur, melenyapkan sama sekali keagungan Kesultanan Melayu Melaka. Bercita-cita mahu membongkar makam dan membawa tubuh jasad semulia-mulia manusia, Rasululah untuk disembahkan kepada Raja Manuel Portugal. Raja Portugal yang mendamba-dambakan segenap harta yang tersimpan di dalam perbendaharaan istana Melaka yang berkoyan-koyan emas permatanya. Namun cita-cita ini gagal, malah kapal Flor de la Mar yang dinaiki oleh Alfonso tenggelam dalam amukan Selat Melaka yang seolah-olah tidak rela bumi Melayu diinjak oleh bangsa penjajah Kristian yang jumud ini. Harta tenggelam di dalam perut Selat Melaka dan selat ini melakar sejarah dalam lipatan kenangan peristiwa demi peristiwa orang Melayu menentang kebangkitan kuasa Barat. Demi cita-cita kemaruk bangsa Portugis, dibongkar semua kuburan milik orang Melayu lalu diberak kencing mereka di atas kuburan tersebut tanda kemenangan. Lalu batu nisan, batu masjid dan batu istana yang dahulu menjadi lambang kemegahan Melaka diganti pula menjadi lambang pembinaan yang penuh pahit orang Melayu Melaka sendiri yang dikerah paksa membina kota A Famosa dan gereja St. Paul di atas Bukit Negara (Bukit Melaka). Termegah gereja di atas bukit, tanda kemenangan si penyembah pendahat salib, di bina di atas tapak runtuhan istana Melaka. Berpesta arak tentera Benggali Putih ini 21 hari di atas bumi Melaka. Daging perempuan Melaka yang 'empuk' dilayan secara paksa dengan dipertonton di hadapan suami, ayah, abang, adik lelaki sebelum dihukum bunuh. Tanda melampiaskan dendam Perang Salib, perjuangan didasar atas agama namun disulam indahkan dengan memuaskan nafsu serakah bahimiah dan kegilaan harta benda demi kecintaan kepada Raja Portugal.


Salah juga orang Melayu. Leka dan lalai dalam kemegahan. Sultan yang memuaskan nafsu dengan 'bermain-main' dengan segala wanita Melaka. Kerana fitnah dan cemburu Tun Fatimah, habis sekeluarga Tun Mutahir, Bendahara Seri Maharaja Melaka dibunuh. Betapa bodoh dan dungunya tanpa memeriksa sembah fitnah, akhirnya lenyap kepada satu legasi keluarga yang selama ini mempertahankan dan memperkayakan dirinya dan Melaka juga. Tamak kepada kuasa, kejam lagi bengis...beringinkan nafus meminang Puteri Gunung Ledang kerana sudah jemu kepada wanita manusia. Betapa banyak dan kemungkaran bermaharajalela di Melaka. Arak menjadi minuman sejuk pembesar, golongan agama dipermain-mainkan. Takhta bergelumang dengan kemaksiatan dan kemewahan tanpa sedar ia merobok-robek sendiri maruah Melaka. Dagang dan santeri bukan boleh dipercayai, talam dua muka. Dikatanya menyokong Melaka dalam diam menghantar maklumat perisikan dan bantuan kapal kepada Benggali Putih. Orang Melaka tidak tahu apa itu istinggar, apa itu meriam, apa itu pistol. Yang mereka tahu racun pokok ipuh boleh membunuh jika disumpit. Berkilat segala lembing tombak, diasah tajam segala pedang dan parang, kapak dan penangkas, segala perempuan Melaka memakai sanggul tajam melilit rambut buat pertahanan diri...langsung tidak kesannya jadi bahan takutan Benggali Putih itu.
___________________________________________________________________
Kisah 2010
Nenek moyang kita tersungkur mempertahankan maruah kedaulatan merdeka negara. Tidak pernah lesu mereka bangun...dari tenaga keringta, air mata dan seruan kebangsaan. Semuanya kerana demi anak bangsa kemudian. Kita terima merdekanya negara kita dari penjajah. Kita nak isikan semuanya dengan ruh merdeka. Tapi merdeka apanya jika minda, sikap dan kelakuan kita lebih jahil dari Arab Jahiliah? Betapa celakanya wahai anak bangsaku kerana kita sendiri yang menjahanamkan semuanya. Betapa hina dinanya kita kerana membiarkan kita jadi begini. Kita bermegah atas nama budaya hedonisme, melentuk liuk badan mengikut telunjuk budaya Barat yang kian karat nilai insani. Bila semua ini akan berakhir? Bila akan kembali umat manusia ini ada rasa insani? Ya Allah, aku sendiri tidak tahu bila semua ini berakhir. Aku takut pada murkamu Ya Rabbi.






No comments:

Post a Comment