Wednesday, August 25, 2010

Terburu-buru pada kemajuan sains...alpa pada jati diri sejarah bangsa, agama dan negara.


















Assalamualaikum. Apa khabar semua? Hari ni aku nak kongsikan kepada anda semua berkenaan tentang satu kertana akhbar hari ini dalam Berita Harian. Berkenaan satu seminar kenegaraan Malaysia yang dianjurkan sendiri oleh Berita Harian. Seminar ini yang berkisar berkenaan konsep 1 Malaysia dan Malaysian Malaysia yang pernah diperjuangkan oleh Peoples Action Party (PAP) dari Singapura yang dipimpin oleh Lee Kuan Yew suatu ketika dahulu. Sekarang ni pula diteruskan pula agenda politik DAP Malaysia. Aku sangat tertarik penghujahan dari Prof. Emeritius Dato' Dr. Khoo Kay Kim, pakar Sejarah dan Kenegaraan Malaysia yang menyatakan bahawa rakyat Malaysia terlalu mengejar arus kemodenan sains teknologi dan membelakangi nilai sejarah dan jati diri bangsa. Nampaknya, apa yang aku fikir dan aku alami sendiri telah disuarakan oleh pakar sejarah Malaysia. Aku sangat bersetuju dengan pendapat ini. Bukan waktu merdeka baru nak buka kitab sejarah, baru nak kenang, baru nak terkial-kial terhegeh-hegeh nak tahu sejarah bangsa dan negara kita. Sesungguhnya aku yang terlibat dalam mendidik dan memberi ilmu tentang sejarah dan nilai jati diri amat merasakan kenyataan yang dibuat oleh Prof. Emiritius Dato' Dr. Khoo Kay Kim amat jitu dan jelas, sebabnya...bila aku mengajar, subjek sains dan teknologi tetap dipandang hebat. Macam matapelajaran sejarah, sivik, Pengajian Malaysia ni macam kelas kedua pula. Kita bukan hendak menolak ilmu sains dan teknologi tapi sedarlah, bukalah mata luas-luas, buklah mata hati itu sebesar-besarnya...lihat, fikir, nilai dan muhasabahlah diri dan keadaan kita disekeliling. Segala macam bentuk kemusnahan dan kejijik jelekan berlaku lantaran kerana nilai-nilai insani sudah semakin terhakis.

Sempena bulan kemerdekaan yang hampir tiba, aku nak ajak marilah kita ambil iktibar dan pedoman apa yang berlaku. Aku tahu mesti yang akan menghentam aku juga kerana aku menulis blog ini waktu sedang mahu menyambut kemerdekaan. Namun hakikatnya aku tercetus untuk menyentuh isu ini apabila aku rasakan sudah masanya aku menulis, untuk aku kongsi dan aku rasa menjadi tanggungjawab untuk menyatakan yang hak. Marilah kita kenang dan sedekahkan al-Fatihah kepada mereka yang telah pergi, membawa haruman bunga perjuangan bangsa dan negara. Darah mereka yang mengalir di atas muka bumi bertuah ini akan diganjarkan pahala oleh Allah, air mata yang menitis, Insya Allah, Allah ganjarkan mereka dengan kebaikan Jannah, segala pengorbanan harta dan keluarga mereka dibalas sejuta keredhaan Allah. Mari kita sedekahkan al-Fatihah dan bacaan Yasin kepada mereka, semoga roh arwah mereka ini tenteram di alam sana. Kita cukup bertuah mendapat negara yang dah bebas merdeka politik dari penjajah. Masalah kita sekarang membebaskan penjajahan ekonomi dan pemikiran budaya yang masih berkemelut seolah-olah tiada susahnya.


Negara yang kita diami ini sudah hampir ketandusan mereka yang nilai jati dirinya menggunung tingginya mengharung segala badai ombak, onak duri dan sepak terajang dunia globalisasi ini. Kita mahu berdiri sama tinggi dengan negara maju, duduk lebih tinggi dari mereka...namun apa gunanya apabila dalaman kita kosong, lompang lompong dengan nilai insani, nilai agama dan jati diri bangsa yang nenek moyang kita dulu cuba semaikan. Jika nenek moyang kita ini dibangkitkan dari kubur, rasanya menangis mereka kerana melihat anak cucu mereka yang sudah hampir ke gerbang kehancuran. Kita tidak belajar dari mereka, alasannya buat apa nak belajar...mereka dah mati, mereka punya zaman dah berlalu. Betapa hinanya alasan ini kerana ini jawapan yang mahu menghancurkan diri sendiri, yang mahu mengazab keluarganya, yang merobohkan bangsanya, menjahanamkan negaranya dan yang paling aku takut...akan menghancur ranapkan tiang sendi agama. Adakah kita sanggup memikul senjata, sanggup mengorbankan diri kita sendiri melawan musuh andai nafsu dalam diri roh kita kalah dalam melawan tuntutan nafsu. Nampak sangat rapuhnya jati diri kita, nampak sangat kebongkakan kita dalam sebenarnya kelemahan diri yang menerobos iman dan takwa kita pada Tuhan.

Adakah dengan mendapat kerja yang bagus, gaji yang hebat, pakaian yang berjenama, rumah yang melaut luasnya, makanan yang dihidang lazat menyelerakan, mempunyai suami/isteri-isteri/teman-teman lelaki/teman-teman perempuan yang kacak cantik jelita, salutan barangan kemas berkemilau dari kepala sampai ke kaki, mempunyai perniagaan yang menongkat hebat sampai ke langit, memandu kereta mewah, bercuti makan angin di luar negara dengan mewah dan sebagainya hanya merupakan satu lambang status yang didapat sendiri? Atau semuaya itu seolah-olah sudah mendapat syurgawi, terjaminkah semuanya itu andai negara kita ini sedang mengalami krisis kebejatan jati diri yang dahsyat? Apakah kita mampu menongkat langit yang tinggi andai kaki kita ni sebenarnya sudah untut lagi cacat? Fikirlah...kita tak ada semua ni jika dalam jiwa kita rapuh. Kita tak sampai semua ni kalau sejarah bangsa dan negara kita tidak berjuang menentang kemelut penjajahan, kita sendiri tidak tercapai segala semuanya jika pegangan agama kita terlalu rapuh. Apa guna kalau harta bertimbun tetapi redha Tuhan tetap tidak tercapai dicari. Apakah redha Tuhan terletak di pub, disko, rumah urut, di semak, di taman bunga dan sebagainya lantaran kerana ingin mencari kenikmatan nafsu serakah bahimiah kebinatangan itu? Merdeka ke dengan semuanya kalau itu menjadi pendekatan dalam mengisi kemerdekaan? Botol arak, dadah, syabu, daun ketum, judi, pelacur dan sebagainya adakah lambang kepada nilai kemerdekaan yang kita capai sekarang? Handphone mahal, bangga keluar dengan balak/awek dengan merempit, berwayangan di dalam panggung wayang...adakah itu merdeka pada kamus hidup bangsa kita? Terjerit-jerit melaung merdeka dengan berkepit jantan betina meneguk air kencing syaitan terkinja-kinja menari umpama beruk yang tempang tatkala masjid dan surau melaung azan? Ke semak...tempat taman bunga...ke tempat sunyi ke melampiaskan nafsu syahwat jantan betina tatkala masjid dan surau melaung salawat ketika solat tarawih? Mana nak cari redha Allah pada kita semua andai kita redha Allah murka kepada kita kerana menyembah tersungkur diri dalam dakapan nafsu syahwat? Jawapannya...dalam diri kita semua. Apa yang kita buat, kita tanggung. Jangan disalah orang lain...jari telunjuk panjang menjurus salah orang kelingking jari berkait ke diri juga.


Memang keras ayat-ayat aku. Itu gelojak dan isi hati aku selama ini yang aku cuba luahkan kepada mereka yang belajar pada aku, yang cuba memahami perspektif nilai jati diri insani manusia yang mendiami Malaysia kini. Aku tahu aku juga jahil, aku juga tak sehebat mana, aku bukannya Hang Tuah, bukan Dato' Maharaja Lela dan bukannya seperti Haji Abdul Rahman Limbong...bukannya betah menulis nilai nasionalisme seperti Syed Syeikh al-Hadi ataupun Abdul Rahim Kajai, aku bukannya nasionalis yang tebal ketulenannya seperti Dato' Onn Jaafar atau Tunku Abdul Rahman. Aku akui bukannya sehebat seperkasa seperti Tun Abdul Razak yang sayangnya kepada bangsanya sendiri terlalu mendalam ataupun seperti sebijak mentadbir negara seperti Tun Mahathir. Tapi aku menyedarkan diri aku sendiri dan mengajak orang lain supaya bangun menilai, memerhati, menaakul dan kemudian menginsafi bahawa semuanya yang berlaku atas kealpaan kita semua. Perbaikilah diri dari kealpaan dan hiasilah diri dengan takwa, semoga Allah memberi kita redha-Nya.
Ini sahaja dariku buat masa ini...wassalam.











Gambar-gambar yang aku paparkan di atas adalah sebahagian proses dan cerita sejarah. Jangan terkejut aku paparkan wajah Tok Janggut yang sebenarnya yang meninggal dunia dan digantung itu...selamilah perjuangannya menentang penjajah. Betapa indahnya corak perjalanan hidupnya yang akhirnya mati mempertahankan maruah bangsanya. Wajah-wajah yang aku apparkan merekalah penanam jati diri bangsa, melawan penjajah. Bersyukurlah kita semua, terima kasih kepada mereka kerana kita mengecapi nikmat kebebasan dari menyembah memanggil Mem dan Sir pada penjajah. Kitalah Mem dan Sir di bumi sendiri. Ingat...macam mana nak jadi Mem dan Sir di tanah sendiri, bangunlah dan tanamkanlah jati diri dan hiasi diri dengan sifat mahmudah. Insya Allah, kita akan jadi tuan dan puan bagi bumi ini sesuai dengan sunnatullah yang Allah jadikan manusia sebagai khalifah di atas muka bumi ini.












No comments:

Post a Comment